Sebelum memeluk Islam, Umar Al-Khattab sangat membenci Rasulullah sallallahu alaihi wasallam. Umar dikenali sebagai seorang yang keras dan ditakuti kaum Quraisy.
Pada suatu hari, dengan penuh amarah,
dia memegang pedang untuk membunuh Nabi Muhammad. Abdullah an-Nahham
al-'Adawi kemudian mencegahnya di tengah jalan.
“Aku hendak membunuh Muhammad,”' ujar Umar.
“Apakah engkau akan selamat dari Bani Hasyim dan Bani Zuhrah jika engkau membunuh Muhammad?” tanya Abdullah.
Umar marah mendengar ucapan Abdullah itu.
“Jangan-jangan engkau juga sudah murtad dan meninggalkan agama asalmu?” bentaknya.
“Mahukah engkau kutunjukkan yang lebih
memeranjatkan daripada itu, wahai Umar? Sesungguhnya saudara perempuanmu
dan iparmu telah murtad dan telah meninggalkan agama yang engkau
anuti.”
Amarah Umar kian menjadi-jadi. Beliau
terus menuju ke rumah adiknya. Di dalam rumah, Fatimah (saudara
perempuannya) bersama suaminya sedang membaca al-Quran. Umar sempat
mendengarnya. Dia terus berhadapan dengan adik dan iparnya.
“Apa yang kalian baca tadi?” tanya Umar.
Namun adiknya cuba untuk menyembunyikan apa yang mereka lakukan.
“Wahai Umar, apa pendapatmu jika kebenaran bukan berada pada agamamu?” tanya ipar Umar.
Mendengar soalan itu, amarah Umar
semakin membuak. Dia mengasari adik iparnya dengan keras dan Fatimah
juga turut ditampar hingga berdarah.
Tiba-tiba Umar terdiam ketika adiknya mengucap dua kalimah syahadat di depannya. Hidayah Allah mulai menyinari hatinya.
Umar lalu meminta adiknya untuk
menunjukkan lembaran yang mereka baca. Permintaan itu dipersetujui oleh
adiknya setelah Umar membersihkan dirinya. Setelah mandi, Umar
membacanya. Hatinya bergetar ketika membaca ayat-ayat Allah itu.
“Ini adalah nama-nama yang indah dan suci,” ujarnya.
Sejak peristiwa itu, Umar pun mengakui
kebenaran Islam. Bahkan beliau menjadi pemimpin umat Islam setelah
Rasulullah sallallahu alaihi wasallam wafat.
Kisah kembalinya Umar ke dalam Islam di atas telah menginspirasi dan menjadi hidayah bagi Husein Yee.
Beliau sungguh terkesima ketika membaca
buku tentang Umar Al-Khattab itu. Buku itu dibacanya kerana beliau
berasa sukar untuk membaca al-Quran.
Kisah kembalinya Umar kepada Islam membuat Yee tertarik untuk mempelajari Islam.
“Sungguh kitab itu al-Quran itu adalah sesuatu yang luar biasa kerana mampu mengubah pandangan seseorang,” ujar Yee.
Ketika itu, Yee sedang mencari kebenaran
tentang Tuhan. Beliau semakin ingin tahu tentang Islam. Beliau mencari
al-Quran dan membacanya. Setelah membacanya berulang-ulang, dalam
hatinya tertanam sebuah keyakinan.
“Inilah agama yang selama ini aku cari,” ujarnya sendirian.
Yee berasa Islam lebih rasional dan mampu menjawab pertanyaannya tentang Tuhan.
Menurutnya, agama ini sangat benar
sekali. Islam hanya mengajarkan satu Tuhan, iaitu Allah, dan bukan tiga
Tuhan seperti konsep Triniti.
“Saya rasa ini adalah mudah,” katanya.
Pada pandangan Yee, tauhid Islam itu
begitu mudah dan sangat sederhana. Untuk menjadi Muslim, katanya,
seseorang hanya perlu mengucapkan dua kalimah syahadah.
Beliau makin terpesona dengan ajaran
yang disebarkan Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam itu, kerana
Islam tidak mengajarkan kekerasan, tetapi keamanan dan saling
menghormati.
Yee juga menyedari bahawa Islam bukanlah
sebuah agama eksklusif yang hanya dimiliki atau dipegang oleh sesuatu
kumpulan tertentu.
Menurutnya, Islam adalah satu agama yang
universal. Allah Subhanahu wa Taala, Tuhan sekalian alam, tidak hanya
untuk orang Arab, tetapi juga untuk orang Cina, Negro, dan semua manusia
di atas muka bumi ini.
“Islam adalah agama untuk semua,” ujarnya.
Sebelum memeluk Islam, Yee adalah
penganut Buddha. Ia mula melakukan carian, setelah merasa agama yang
dipeluknya itu tidak lagi memuaskan hatinya. Beliau menilai bahawa
ajaran agamanya sudah tidak lagi sesuai dengan yang diajarkan Gautama.
Menurut Yee, Gautama bukanlah Tuhan yang
harus disembah. Gautama adalah seorang Pangeran yang berkelana mencari
kebenaran. Lalu dia mendapat 'pencerahan' dan digelar Buddha. Dia
memberikan ajaran-ajaran yang diperolehmya daripada pengabdiannya.
“Sungguh Gautama tidak mendakwa dirinya sebagai Tuhan,” kata Yee dalam sebuah acara The Deen Show.
Menurutnya lagi, dalam menjalani kehidupan beragama, seseorang harus benar-benar mendalami apa yang dianutinya.
Beliau mendalami agama tradisionalnya
dengan bekerja di biara. Lama mengabdi pada biara membuatnya sedar
bahawa apa yang dilaksanakan manusia dalam lingkungannya sudah melencong
dari ajaran Gautama. Mereka mula memuja dan berdoa kepada Gautama, yang
sama sekali tidak membenarkan orang untuk memujanya.
Dengan perasaan kecewa, beliau lalu
pindah keyakinan menjadi seorang penganut Kristian, agama yang dianuti
ramai penduduk di China.
Pada masa awal menjadi seorang Kristian, lelaki yang berusia sekitar 60 tahun itu menganggap Kristian sebagai agama yang indah.
“Saya berasa sangat indah kerana Kristian mengajar tentang cinta kepada Tuhan dan cinta kepada sesama jiran,” kenangnya.
Selain itu, menurut Yee, Kristian adalah agama yang sangat mudah.
“Sebagai contoh, ketika seseorang
melakukan kesalahan, lalu dia melakukan pengakuan di depan pendeta, maka
dosanya akan hilang dan dia bersih kembali. Dan itu sangat mudah,”
tuturnya.
Beliau lalu mengajarkan agama Kristian
kepada orang-orang di sekitarnya. Beliau pun sempat komited dengan
sekolah mubaligh untuk menyebarkan Kristian. Yee sempat berfikir dirinya
akan menjadi orang yang sangat egois apabila menyimpan sendiri
agamanya.
Yee kembali ke dalam lingkungannya dan
menyebarkan Kristian kepada mereka. Untuk menjadi seorang mubaligh, Yee
mengaku perlu mempelajari banyak hal tentang Kristian.
“Saya harus mempersiapkan diri dan
belajar lebih dalam mengenai Kristian dan Triniti yang menjadi inti
daripada agama cinta ini,” ceritanya.
Kegundahan kembali menerpa hatinya ketika Yee mempelajari Triniti. Tidak mudah baginya untuk menerima konsep “Tiga Tuhan” ini.
Sukar baginya mempercayai seseorang
menjadi Tuhan yang menjadikan manusia yang fana. Kekeliruan itu
disampaikannya kepada seorang pendeta.
Kepada pendeta itu, Yee bercerita betapa hatinya sukar sekali mencari kebenaran akan Kristian. Paderi tersebut berkata pada Yee,
“Bersabarlah, Roh Kudus akan datang padamu dan memberikanmu pencerahan.”
Yee pun menunggu dan menunggu akan
kedatangan Roh Kudus. Akan tetapi, yang ditunggunya tidak kunjung hadir.
Padahal beliau ingin sekali menyebarkan Kristian kepada teman-temannya.
Saat itu, Yee berfikir mereka akan masuk neraka apabila tidak menganut
Kristian. Beliau menganggap mereka itu tersesat.
Pada masa yang sama, Yee memiliki teman-teman Muslim. Namun, beliau sama sekali tidak mengetahui apa-apa tentang Islam.
Pada awalnya, Yee berfikir bahawa Islam adalah agama untuk orang-orang tertentu saja, bukan agama untuk semua manusia.
Ketika masih mempercayai Kristian,
beliau ingin sekali mengajak teman-temannya yang Muslim untuk berkongsi
agama yang dianutinya. Beliau ingin mengatakan, “Tuhan mati untuk
menyelamatkan kita semua.” Tetapi dalam diam, Yee mempelajari agama
Islam.
Malangnya, katanya pada era 1960-an,
mereka yang bukan Islam tidak dibenarkan membaca al-Quran. Ia berterusan
hinggalah akhirnya beliau membaca buku tentang Umar bin Khattab.
Sejak itulah, Yee mula mencari apa yang dicarinya selama ini. Beliau mencari kebenaran dalam Islam.
Menurutnya, Islam adalah agama perdamaian, kerana ia diciptakan untuk semua. Bagi Yee Islam adalah sebuah akronim daripada ‘I Shall Love All Mankind’ (Saya mencintai seluruh umat).
Kini, Yee menjadi seorang penceramah. Di pelbagai tempat dan kesempatan, beliau selalu menyampaikan dakwah Islamnya.
Menurut Yee, Sidharta Buddha Gautama
bukanlah Tuhan kerana kata Gautama, dia mempercayai bahawa Tuhan itu
satu (monoteisme). Dalam perjalanannya, Gautama selalu berdoa kepada
Pencipta.
Katanya lagi, dalam Darma Gautama, juga
diajarkan adanya qada dan qadar, yang disebut “sukha dan Dukkha”. Yee
mencontohkan ketika seseorang berbuat kebaikan, maka ia akan memperoleh
pahala atas kebaikannya dan begitu juga sebaliknya.
Dalam penelitiannya terhadap Buddha dan
Islam, Yee berasa ada suatu kaitan antara kedua-duanya. Sebahagian besar
ajaran Gautama mengarah kepada ajaran Islam iaitu tauhid. Dan beliau
percaya Gautama adalah satu daripada beratus-ratus nabi yang Allah
turunkan ke dunia untuk menyebarkan agamanya.
Hal ini diyakininya kerana beliau percaya Allah tidak hanya menurunkan nabi di Arab sahaja, tetapi di seluruh dunia.
“Kerana Islam bukan hanya untuk orang Arab, tetapi untuk seluruh umat manusia,” katanya lagi.
Atas keyakinan itu, beliau berusaha
untuk mengajak semua orang membaca al-Quran. Walaupun bukan umat Islam,
kata Yee, mereka akan menemui kebenaran dalam al-Quran tersebut.
Yee tidak akan memberi komen jika
seseorang atau kerabatnya menganggap orang Islam itu jahat atau buruk,
kerana sama seperti agama lain di dunia ini, ada Muslim yang baik dan
yang buruk.
“Namun apabila seseorang mengatakan
Islam itu buruk, maka saya akan marah. Selain itu seseorang tidak boleh
menghakimi Islam itu buruk kalau dia belum benar-benar mengenali Islam,”
katanya.
Justeru, beliau meminta agar setiap
orang berusaha untuk membezakan Islam dan Muslim, agama dan negara,
serta agama dan tradisi.